This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

BERSAMA PMKI UNISZA

Wednesday, October 28, 2009

Majlis Anugerah Dekan FKI

TARIKH : 29 OKTOBER 2009

MASA : 8.30 HINGGA 11.30 PAGI




8.30 PAGI : KETIBAAN PELAJAR

9.00 PAGI : KETIBAAN VIP

9.15 PAGI : KATA-KATA ALUAN PENGERUSI

9.20 PAGI : DOA

9.30 PAGI : UCAPAN DEKAN FAKULTI PENGAJIAN KONTEMPORARI ISLAM

9.45 PAGI : PENYAMPAIAN ANUGERAH

11.30 PAGI : JAMUAN / BERSURAI

Friday, October 16, 2009

Berhibur Cara Islam


Antara matlamat utama manusia ini dicipta oleh Allah SWT adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya seperti yang firmankan oleh Allah: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
(surah Az Zariyyat :56)

Maka menjadi tanggungjawab kita untuk menjadikan setiap aktiviti kita termasuk berhibur sentiasa berada di dalam ruang lingkup beribadah kepada Allah SWT. Tujuan garis panduan ini disediakan adalah untuk memberi panduan kepada para penganjur hiburan agar program hiburan yang dijalankan tidak menyalahi syara’ dan tersasar dari tujuan beribadah kepada Allah SWT.

ISLAM DAN HIBURAN Islam adalah satu cara hidup yang sangat meraikan dan tidak pernah sekali-kali menyekat naluri fitrah manusia termasuklah berhibur seperti mendengar muzik, bunyi-bunyian dan nyanyian asalkan sahaja hiburan itu tidak menyalahi hukum-hukum syara’.



GARIS PANDUAN MENGADAKAN ACARA KONSERT / PERSEMBAHAN DAN HIBURAN DALAM ISLAM

1- Hendaklah dipastikan muzik / lagu / skrip yang tidak mempunyai perkataan yang boleh membawa ke arah bertentangan dengan aqidah seperti menyalahi syariat Allah SWT, memburuk-burukkan Rasulullah SAW, melekehkan para sahabat, meragui hari kiamat dan pembalasan dosa pahala juga tiada unsur memuja atau taksub kepada wanita.


Allah SWT memberi peringatan kepada sesiapa yang meragui kebenaran hari kiamat dengan firmannya: “Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya - supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan. Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa”. (surah Taaha : 15-16)


2- Suatu persembahan / konsert yang dijalankan hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga hak-hak Allah dan kewajipan yang lain terabai seperti menunaikan ibadah, hak mencari dan memberi nafkah, menuntut ilmu dan sebagainya.


“Tidaklah ada diantara orang Muslim jika tiba waktu solat wajib, lalu dia membaguskan wudhuknya, kekhusyukannya, dan ruku'nya melainkan solat itu menjadi penebus dosa-dosa sebelumnya, selagi dia tidak mengerjakan dosa besar, dan itu berlaku selamanya”. (Hadis Riwayat Muslim)


3- Muzik atau nyanyian yang disampaikan tidak mempunyai senikata lagu berunsur maksiat dan lagho seperti membawa kepada rangsangan ghairah nafsu melalui tema-tema cinta yang melampau, luahan perasaan dan kerinduan yang berlebihan kepada manusia sehingga mendorong pendengar dan remaja kepada melakukan maksiat dan dosa.


Oleh itu nyanyian sebegini hendaklah dijauhi berdasarkan firman Allah seperti berikut:
“Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia (lagha), mereka berpaling daripadanya.” (surah Al Qasas : 55)


“Sesungguhnya Allah telah menentukan bahagian seseorang tentang zina yang tidak mustahil didapatinya. Maka zina mata adalah memandang, zina lidah adalah mengucapkan, zina hati adalah mengingini dan faraj (kemaluan) membenarkan atau mendustakannya.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


4- Hendaklah hiburan tidak diiringi atau dialunkan dengan instrument bunyian terlampau seperti budaya rock sehingga penonton / pendengar mengikut rentak (melompat-lompat, menjerit dan bersorak) menjatuhkan akhlak mereka dan mendatangkan fitnah kepada diri mereka.


5- Penyanyi, pembuat persembahan dan penonton yang hadir hendaklah menjaga auratnya, tidak melakukan gerak badan yang memberahikan ataupun mempersembahkan nyanyian dengan suara lucah yang menyebabkan fitnah dan rangsangan nafsu kotor dikalangan pendengar / penonton. Sekalipun lagu dan senikata yang disampaikan adalah baik, dalam keadaan ini ianya tetap menjadi haram.


Allah swt berfirman berkenaan tuntutan menutup aurat: “Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan.” (surah Al A'raf : 26)


Rasulullah saw juga memberi amaran kepada wanita yang tidak menutup aurat mereka: “Sebahagian dari penghuni neraka ialah perempuan yang memakai pakaian yang menyerupai telanjang, pakaian yang sesat dan menyesatkan. Mereka tidak masuk ke syurga dan tidak mencium baunya.” (Hadis Riwayat Muslim)


“Apabila umatku melakukan 15 perkara maka mereka layak untuk menerima bala Allah. Antara 15 perkara itu ialah…. orang ramai menjadikan wanita sebagai penyanyi (penari-penari), alat-alat yang melalaikan (muzik).” (Hadis Riwayat Tarmidzi)


6- Hendaklah dipastikan tiada percampuran di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa sekatan dan had hingga membawa kepada bersentuhan antara lelaki wanita ajnabi, tiada majlis tari-menari, tidak berlakunya acara minum arak, pertaruhan judi, tiada drama /lakonan-lakonan liar dan seumpamanya.


Rasulullah saw bersabda dalam hal pergaulan lelaki wanita ajnabi ini: “Sekiranya ditikam di kepala seseorang kamu dengan sebatang besi adalah lebih baik baginya dari menyentuh kulit wanita yang tidak halal untuk disentuh.” (Hadis Riwayat Baihaqi)


7- Penyanyi tersebut hendaklah dari kalangan lelaki jika penontonnya adalah lelaki dan wanita manakala jika persembahan itu tertutup dan semua yang berkait dengannya adalah wanita maka dibolehkan penyanyi itu dari kalangan wanita. Ini adalah bagi mengelak segala fitnah dan punca kerosakan dari suara wanita dan pergerakan manja wanita yang menggoda.


Firman Allah SWT: “Maka janganlah kamu wahai wanita berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (surah Al Ahzab : 32)


Dan Rasulullah SAW juga bersabda: “Daripada Abu Malik al-Asy’ari daripada Nabi saw bersabda; Beberapa orang daripada umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan bukan nama asalnya dan dialunkan muzik kepada mereka dan dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi perempuan. Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah akan menjadikan mereka kera dan babi.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)


PERINGATAN Syaitan selalunya mengambil peluang dari hiburan yang melalaikan untuk menyesatkan dan melaghakan manusia. Allah SWT berfirman: “Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.” (surah Al Lukman :6)


Bertitik-tolak dari itulah, satu garis panduan berkenaan hiburan disusun supaya kehalusan seni hiburan yang digariskan Islam itu dapat direalitikan. KESIMPULAN Industri hiburan dan nyanyian yang harus dalam Islam adalah sesuatu yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia, menghibur dan memberikan ketenangan kepada jiwa disamping mematuhi adab-adab Islam.


Ini menuntut kesedaran yang tinggi dari pemuzik dan penggiat seni Muslim supaya membentuk industri hiburan tersendiri dan terpisah daripada pengaruh jahat Kuffar. Sebarang percubaan Kuffar untuk menghanyutkan umat Islam ke arah kemaksiatan, kemudharatan dan kefasikan mestilah dihalang beracukan penetapan dan susur galur Al Quran dan Sunnah Rasul SAW.

Bittaufiq Wannajah Fil Imtihan

Bermula minggu ni, maka sibuklah pelajar-pelajar UDM dengn study masing2 memandangkan end of semester exam is around the corner.. "perlu ke exam ni?, kalau tak payah exam tak boleh ke?, leceh la.." macam2 ayat yang keluar, dulu pernah juga terfikir macam mana kalau dlm hidup seorang pelajar ni, tak perlu nak jawab exam, tak perlu nk ambil kuiz,.. boleh tak agaknya kalau diberi pilihan mcm tu?

pastinya tidak.kalau begitu, bagaimana kita nak tahu tahap pencapaian seseorang pelajar tu, macam mana tahap kefahaman dia..begitu juga persoalan mengapa aku diuji?peperiksaan tu seperti dugaan dan cabaran yang Allah berikan pada kita sejauh mana kita bertawakal padaNya..sejauh mana kita beriman pada qada' dan qadar.. tak semestinya kita belajar sahaja kita akan berjaya apatah lagi jika tak belajar langsung! apa yang penting di sini bukan kerjasama, tapi habluminallah yang perlu kita jaga..

yang dilihat & diukurNya bukan sejauh mana usahamu

tapi yang diharap sejauh mana TAWAKAL, PERCAYA nan jitu..

pergantunganmu padaNya..

tapi tak bermakna tak perlu berusaha..

USAHA lah semampumu..

tapi janganlah sesekali beraqidah bahawa

banyak usahamu penentu kejayaan..

tapi TAWAKKAL mu itu sebenarnya

hanya semata-mata padaNya..

itulah penentu kejayaanmu..

kejayaan bukan milik sesiapa,

tapi adalah milik Allah..

justeru,hendaklah dikau pohon dariNya semata..

kami doakan kita sama2 berjaya dalam peperiksaan masing2..tunjukkan pada diri, apa lebihnya orang, apa kurangnya kita? Allah ciptakan setiap orang ada satu otak, bergantung pada pemiliknya bagaimana otak itu dimanfaatkan..wallahu'alam

"wahai orang-orang yang beriman! jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu“ (surah Muhammad:7)

Friday, October 2, 2009

Puasa Qadha + Puasa Enam Syawal


Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya’ dengan amalannya.



” kau , dah hari ker berapa dah?”


“aku dah 5 hari dah ni”


“esok aku raya (sunat syawal)”


Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.


Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat ’sapa lebih hebat?’.



Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.


Ziarah & Puasa Sunat


Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.


Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.


Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha



Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.


Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih


وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه


Ertinya : “..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya…” (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)





Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.


Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).


Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.


Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.


Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW


‏إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة



Ertinya ” … barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda..” ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)


Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang’ ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.


Isu Gabung Sunat & Qadha



Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-


Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.


Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.


Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu :-


1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.



2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.


3. Tindakan A’isyah ra yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka ini lah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana aisyah tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :


كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان


Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya’ban” ( Riwayat Muslim, no 101)



4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.


Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)


5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad ‘Aayish al-’Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW


من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر


Ertinya: “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).



6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.


7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith


” Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)



Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).


Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.


Kesimpulan


Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);


Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.



Sekian


Zaharuddin Abd Rahman


http://www.zaharuddin.net/


25 Oktober 2006


(Diedit semula pada 3 Syawal 1428 H = 15 Oktober 2007) di laman web http://soaljawab.wordpress.com

Jom Puasa 6!!!


Oleh: Hafiz Firdaus Abdullah

Selain puasa wajib pada bulan Ramadhan, syari‘at Islam juga membuka peluang kepada sesiapa yang ingin berpuasa di luar bulan Ramadhan. Ia disebut sebagai puasa sunat dan terbahagi kepada beberapa jenis. Puasa-puasa sunat adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Rasulullah s.a.w. bersabda, bahawa Allah s.w.t. berfirman (Hadis Qudsi):

“Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah melanjutkan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1151 (Kitab al-Siyam, Bab keutamaan berpuasa)] Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat. Para pembaca boleh merujuk ke kitab al-Shahih al-Musnad min Fadhail al-Amal susunan Syaikh Ali bin Muhammad al-Maghribi (Dar Ibn ‘Affan, Riyadh, 2000). Di antara jenis puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Puasa sunat inilah yang akan saya kupas dalam risalah ini.

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.

Dalilnya ialah hadis Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1164 (Kitab al-Siyam, Bab disunatkan berpuasa enam hari dari bulan Syawal)]

Darjat Hadis Puasa Sunat Enam Syawal.

Hadis yang menjadi dalil puasa sunat enam Syawal adalah sahih sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya. Sebelum ini ada segelintir pihak yang meragui kesahihan hadis ini. Keraguan tersebut adalah sia-sia kerana hadis ini diriwayatkan dari beberapa sahabat dan memiliki banyak jalan periwayatan. Syaikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Bassam menjelaskan:

“Hadis ini nyata kesahihannya, ia datang dengan tiga jalan periwayatan selain jalan di atas (yang dikemukakan oleh Imam Muslim). Ia juga diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dengan tiga wajah (yang berlainan) sehingga dikatakan: Sesungguhnya ia adalah hadis mutawatir. Ini kerana al-Dimyathi telah menghimpun semua jalan periwayatan hadis ini dan sanadnya dari dua puluh orang perawi, kebanyakan mereka hafiz dan thiqat.” [Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (Maktabah al-Asri, Mekah, 2003), jld. 3, ms. 533]

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat sebagaimana jelas Syaikh Abdullah al-Bassam: “Disunatkan berpuasa enam hari (dibulan Syawal), ini merupakan mazhab al-Salaf dan al-Khalaf serta jumhur ilmuan, termasuklah Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafi’e dan Imam Ahmad.” [Taudhih al-Ahkam, jld. 3, ms. 533]

Imam Malik menganggap hukumnya makruh. Sebabnya dijelaskan oleh Imam Ibn Rusyd (595H): “Dan ada pun (puasa) enam hari dari bulan Syawal, maka sesungguhnya telah sabit bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.” Walaubagaimana pun (Imam) Malik menganggap hukumnya makruh. (Anggapan ini) mungkin kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan, atau mungkin kerana hadis tersebut tidak sampai kepadanya, atau mungkin kerana hadis itu tidak sahih disisinya. Kemungkinan yang terakhir adalah yang lebih tinggi.” [Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtashid (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 3, ms. 209]

Sebahagian ilmuan dari Mazhab Hanafi ada juga yang menganggap hukumnya makruh atas sebab-sebab yang sama dengan Mazhab Maliki. Akan tetapi jumhur Hanafiyah menganggapnya tidak mengapa, yakni membolehkannya. [Ibn ‘Abidin – Rad al-Muhtar ‘ala al-Dur al-Mukhtar fi Syarh Tanwir al-Abshor (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp.thn), jld. 3, ms. 435]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Sa‘id al-Khudri berkata: “Nabi s.a.w. melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha.” [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1991 (Kitab al-Shaum, Bab berpuasa pada hari Aidil Fitri).]

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Hanya saja terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan: Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara rambang?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara rambang asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah s.a.w. menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Justeru puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah bulan Syawal.

Walaubagaimana pun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan keumuman firman Allah s.w.t.: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Ali Imran 3:133]

Tidak Ada Hari Raya Selepas Puasa Sunat Enam Syawal.

Sebahagian orang ada yang menyambut Hari Raya pada 1 Syawal dengan perasaan hambar dan kekosongan. Bagi mereka, Hari Raya yang memiliki erti sambutan dan kegembiraan sepenuhnya ialah pada hari selepas mereka menggenapkan puasa sunat enam Syawal.

Ini adalah satu bid‘ah yang mungkar. Hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha. Dua hari ini bukanlah sesuatu yang dibuat-buat manusia tetapi disyari‘at oleh tuhan yang mencipta manusia, yakni Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mengantikan untuk kalian dua perayaan yang lebih baik dari perayaan (zaman jahiliyah), iaitu (perayaan Aidil) Adha dan (perayaan Aidil) Fitri.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 1134 (Kitab al-Solat, Bab solat dua hari raya)]

Oleh itu hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha. Hanya pada dua hari inilah kita menyambut dengan penuh kegembiraan kerana ia disyari‘atkan oleh Allah s.w.t.. Tidak ada hari perayaan sempena genapnya puasa sunat enam Syawal.

Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.

Wujud perbincangan di kalangan para ilmuan, adakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Perbincangan ini membuahkan dua pendapat.

Pendapat Pertama membolehkannya berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah berkata: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban kerana sibuk (melayani) Rasulullah s.a.w..” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1146 (Kitab al-Siyam, Bab mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Syawal). Dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan “kerana sibuk melayai Rasulullah” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yangbernama Yahya bin Sa‘id.]

Para ilmuan yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah, yakni Aisyah, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Pendapat Kedua tidak membolehkannya berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.”

Rasulullah s.a.w. mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Pendapat yang rajih (kuat) ialah pendapat kedua kerana lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini ditambah dengan ayat 133 surah Ali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih disegerakan dari amal yang sunat.

Ada pun dalil yang digunakan oleh pendapat pertama, ia hanya satu andaian. Mereka hanya membuat andaian bahawa Aisyah telah berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawal. Yang benar Aisyah tidak menerangkan sedemikian. Bahkan jika diperhatikan dengan cermat keterangan Aisyah, terdapat isyarat bahawa beliau juga tidak berpuasa sunat enam Syawal. Ini kerana jika beliau sentiasa sibuk melayani Rasulullah sehingga ke bulan Sya’ban, bererti beliau sememangnya tidak sempat untuk berpuasa tanpa mengira sama ada ia puasa wajib (mengqadha puasa Ramadhan) mahu pun puasa sunat (enam Syawal).

Di sini mungkin ada yang bertanya: “Ehh! Takkanlah isteri Rasulullah tak puasa sunat enam Syawal?” Pertanyaan ini dijawab, bahawa umat Islam generasi awal, termasuklah Aisyah, tidak memahami Islam dalam bentuk juzuk-juzuk kecil sebagaimana yang difahami oleh umat Islam masa kini. Mereka memahami Islam dalam konteks yang luas lagi jauh ke hadapan. Bagi mereka, amal yang memberi manfaat kepada orang ramai diunggulkan di atas amal yang memberi manfaat kepada diri sendiri. Amal yang besar manfaatnya diunggulkan di atas amal yang sederhana manfaatnya. Amal yang memiliki manfaat jangka panjang diunggulkan di atas amal yang memiliki manfaat jangka pendek.

Justeru jika Aisyah tidak berpuasa sunat enam Syawal, ia bukanlah satu kekurangan. Ini kerana memberi tumpuan melayani Rasulullah s.a.w. memiliki manfaat yang besar untuk umat Islam seluruhnya untuk jangka masa yang panjang.

Ibadah Puasa Bukan Syampu Rambut 2 Dalam 1.

Terdapat pandangan yang amat masyhur di Malaysia yang membolehkan puasa dua dalam satu, iaitu puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat Syawal dilaksanakan dalam satu hari. Ramai agamawan yang menyampaikan petua ini tanpa mengemukakan apa-apa dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Tidak kurang pula, ramai orang bukan agama yang menerima petua ini tanpa bertanya apakah dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih yang membolehkannya. Mereka menjadikan persoalan ini semudah syampu rambut 2 dalam 1.

Padahal ia adalah satu persoalan yang amat berat. Prof. Dr. Hasbi al-Shiddieqie rahimahullah (1394H) menjelaskan:

“Kemudian hendaklah diketahui bahawa mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat. Dalilnya ialah firman Allah: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya. [al-Baiyinah 98:05].

Ikhlas yang dimaksudkan dalam firman Allah ini ialah mengikhlaskan amal ibadah yang disuruh dengan cara yang disuruh. Demikian menurut Imam Malik, al-Shafi‘e dan Abu Sulaiman. Kemudian perhatikanlah pula hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim daripada A'isyah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan sesuatu amal yang tidak ada atasnya tuntutan (ajaran) kami, maka amalnya itu tertolak.

Maka sesiapa mencampur adukkan sesuatu amalan dengan amalan lain, bererti telah melakukan suatu amal yang tiada dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan tiada dibenarkan oleh Allah s.w.t.. Kerana itu, amalan sebegini tidak diterima.” [Pedoman Puasa (Thinker’s Library, Kuala Lumpur, 1996), ms. 136-137]