Adakah dinamakan kehidupan jika tiada gembira dan duka, jaya dan
gagal, seronok dan sunyi, tenang dan gelisah serta apa jua rasa yang
menyenangkan dan meresahkan kita?
Tiada seorang
insan pun yang terkecuali daripada rasa-rasa ini. Hatta seorang gila pun
tetap melaluinya walaupun akalnya tidak lagi memberi respons yang
normal terhadap rasa-rasa ini. Segala rasa inilah yang mewarnai insan
jua kehidupannya. Segala rasa yang menyenangkan itu pada insan merupakan
suatu kenikmatan. Segala rasa yang tidak menyenangkan itu pula suatu
musibah.
Namun, apalah gunanya gembira jika diri
jauh dari Tuhan? Apalah gunanya berjaya andai Tuhan membenci diri?
Apalah gunanya berduka andai tidak ingat pada Tuhan? Apalah gunanya
resah jika tidak kembali kepada Maha Pemberi yang memberi ketenangan?
Nilai hidup ini secara tepatnya
bergantung kepada soal siapa kita pada Tuhan. Walaupun pujian manusia
menggunung tinggi tetapi di sisi Allah hina dan keji, tetap tiada
gunanya. Sebaliknya andai seluruh manusia mencaci maki dan membuang kita
ke tepi, tetapi pada Allah mulia dan terpuji, itulah nilai kehidupan
yang paling tinggi. Tinggi rendah nilai hidup ini segalanya menurut
penilaian Ilahi.
Begitulah firman Tuhan mengingatkan insan yang beriman;
"Dan janganlah kamu berasa lemah dan janganlah bersedih. Kamulah yang
paling tinggi (darjatnya) sekiranya kamu beriman ." (Surah ali Imran:
139)
Allah menjelaskan kepada insan
bahawa sesiapa yang mahukan diri dan hidupnya bernilai pada-Nya
mestilah tetap beriman dalam apa jua keadaan; waima lemah mahupun sedih.
Mendahulukan penilaian iman, itulah yang Allah ajarkan bukannya menurut
rasa hati diri semata-mata. Manusia tidak akan mampu membunuh keutamaan
ini dengan apa cara sekalipun.
Saat ini,pilihan di tangan kita. Terpulang kepada kita sama ada mahukan kehidupan yang tinggi nilainya ataupun yang rendah sekali nilainya.
Wallahu'alam.
Oleh: Mohamad Hamiduddin Bin Ismail | EXCO Publisiti & Penerangan PMKI | http://bicaramusafirv1.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment